Thursday 22 March 2012

IMPIAN SARAWAK MENJADI NEGERI TERKAYA

TIGA dekad lalu, jika anda pernah menginjakkan kaki ke Sarawak pada masa tersebut mungkin gambarannya tidak begitu mengujakan.

Mungkin disebabkan tiada ekspresi yang dapat diluahkan apabila hanya landskap berwajahkan kehijauan hutan yang mengelilingi bandar-bandar utama di negeri ini termasuk bandar raya Kuching ketika itu.
Bagaimanapun, sedikit demi sedikit Sarawak mula mengorak langkah berubah bukan hanya terhadap landskap persekitaran bahkan ekonomi dan rakyatnya.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa Sarawak telah mengalami satu transformasi ekonomi yang menarik di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Malah, Abdul Taib merupakan 'arkitek' terhadap landskap pembangunan yang dilaksanakan secara berterusan di Sarawak dalam usaha bergerak ke arah mencapai status negeri maju menjelang tahun 2030.

Abdul Taib dilantik memegang jawatan sebagai Ketua Menteri pada 1981 dan dalam tempoh tiga dekad lalu itu, beliau telah mengubah Sarawak dari sebuah negeri pertanian kepada pemain ekonomi baru di Malaysia.
Kepulangannya ke Sarawak dari Australia selatan pada 1963 dengan berkelulusan peguam dari Universiti Adelaide, beliau telah menyertai Majlis Legislatif Negeri dan sejak itu menetapkan untuk mencapai aspirasinya membangunkan ekonomi serta meningkatkan kualiti hidup rakyat di negeri ini.

Pada era 1960-an, gambaran pada masa itu adalah sukar sekali untuk dibayangkan apabila Sarawak yang mempunyai kira-kira 30 kumpulan etnik dan berkeluasan 124,449 kilometer persegi mampu mengorak langkah sekali gus mengalami transformasi menjadi sebuah negeri yang berdaya saing ketika ini.
Ia bermula sebaik sahaja resume politik Abdul Taib lengkap apabila mula memegang jawatan eksekutif dan legislatif di peringkat negeri dan Persekutuan sejak 1963 dan pada masa itu beliau membabitkan dirinya dalam pembangunan Sarawak.

Dalam tempoh tersebut, pertumbuhan ekonomi telah membangun dengan nyata sekali apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melonjak dari RM527 juta pada 1963 kepada RM26.016 bilion pada 2009.
Pada 1985 pula, sejumlah 31.9 peratus penduduk di negeri ini berada pada paras kemiskinan dan statistik tersebut berjaya dikurangkan kepada 5.3 peratus.


Ketika ini pendapatan per kapita penduduk Sarawak hanya sekitar AS$7,000 atau RM21,346 dan kerajaan negeri berusaha meningkatkan pendapatan per kapita itu kepada AS$15,000 (RM45,743) setahun bagi memastikan negeri ini dapat mencapai status negeri maju pada tahun 2030.


Pada masa sama, kerajaan negeri di bawah kepimpinan beliau juga meningkatkan kadar 31.8 peratus penduduk Sarawak yang mempunyai bekalan air bersih pad 1980 kepada 69 peratus pada 1995 dan 95 peratus (2009).


Pada 2008, Ketua Menteri melancarkan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (Score), iaitu inisiatif membangunkan wilayah tengah sebagai koridor perindustrian tenaga intensif yang dilihat satu lagi landasan menjadikan Sarawak sebagai kuasa ekonomi di Malaysia.


Score bersedia memperhebatkan pembangunan infrastrukturnya, prasarana dan kemudahan sosial yang dijangka menyumbang ke arah pembangunan, pertumbuhan yang lebih besar serta kepelbagaian ekonomi.
Rancangan itu akan dijalankan sehingga tahun 2030 dengan tujuan mencipta sebanyak 1.5 juta peluang pekerjaan dan mencapai pertumbuhan KDNK per kapita 5.5% setiap tahun.


Pada masa sama, kewujudan Score akan membolehkan kerajaan negeri menerima pelaburan AS$200 bilion (RM609 bilion) pada masa akan datang.


Sebagai tambahan, kerajaan negeri juga melakukan pelaburan yang banyak dalam pembangunan modal insan dengan memberi tumpuan kepada sistem pendidikan yang menyediakan tenaga kerja yang lebih kompetitif.
Dalam erti kata lain, kerajaan negeri mahu memberi penekanan terhadap latihan vokasional dan teknikal selain pemikiran kritis serta pembangunan kemahiran ringan dengan membuka lebih banyak peluang kepada para pelajar meneruskan pengajian lanjut di empat universiti di Sarawak.




Empat universiti terbabit adalah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknologi Swinburne serta Universiti Teknologi Curtin.


Secara keseluruhannya, kejayaan kerajaan negeri dalam pendidik terbukti apabila kadar celik huruf di negeri ini sebanyak 30 peratus pada era kemerdekaan meningkat kepada 95 peratus pada hari ini.


Sebagai ingatan terhadap pencapaian-pencapaian yang diperoleh Ketua Menteri dalam bidang ini, Abdul Taib telah menerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup daripada Kongres Asia HRD pada Julai 2010.


Tidak ketinggalan dalam aspirasinya, Abdul Taib turut melaksanakan beberapa integrasi sosial dan rancangan-rancangan pembangunan bagi menyeimbangkan jurang antara kawasan bandar dan kawasan luar bandar.


Apa yang dilakukannya adalah dengan menggalakkan perkembangan industri-industri tradisional di luar bandar serta meningkatkan akses untuk bekalan elektrik, air bersih, pendidikan, komunikasi dan perkhidmatan kesihatan.


Justeru, kestabilan politik dan perpaduan kukuh dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini merupakan pemacu utama pembangunan Sarawak.


Untuk tujuan itu seluruh masyarakat di negeri ini harus mengekalkan perpaduan dan kestabilan politik bagi mencapai status negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.


Abdul Taib pernah menyebut, ''politik naik dan turun, bagaimanapun kehidupan mesti diteruskan dengan tidak membiarkan usaha kerajaan untuk menyatupadukan rakyat majmuk di negara ini gagal.


''Usaha ini penting kerana kepentingan perpaduan dan kestabilan negara akan membawakan masa depan yang lebih baik untuk generasi yang masa hadapan."


Beliau juga pernah menyuarakan bahawa ''kami telah dapat memenuhi harapan dan aspirasi orang ramai yang miskin menjadi rakyat yang dapat memandang jauh ke hadapan di samping memupuk cita-cita yang tinggi mencapai kejayaan lebih besar dalam hidup.




''Jika kami mempunyai perpaduan dan keazaman, kami akan mempunyai negeri terkaya di seluruh Malaysia menjelang tahun 2030. Ini ialah impian semua rakyat, ini ialah impian semua ahli-ahli politik bertanggungjawab, ini ialah mimpi saya."
UTUSAN, MARCH 2012.


p/s: Mungkin agak berbaur mengampu utk sesetengah org tetapi jika kita selidiki akan tetap ada kebenarannya. bagaimanakah suatu negeri dengan lebih dari 30 etnik mampu terus bersatu sehingga kini jika tiada resipi yang menarik dari pemerintahnya. Dari kontek ekonomi negeri sarawak, seharusnya sarawak lebih baik dari sarawak sekarang ini. Tapi prinsip persekutuan yang negara kita amalkan telah membahagi kekayaan sarawak kepada setiap negeri2 di malaysia. Sesuatu yg mengecewakan tetapi harus kita hormati.


Tetapi kepimpinan tertinggi sejak akhir2 ini saya lihat lebih 'menyayangi' sarawak. Munkin hanya kerana survival politik atau munkin juga kerana ketelusan keprihatinan mereka. Itu tidak penting. Yang penting sarawak terus dilimpahi dengan apa yang seharusnya kita dapat.


Saya harus iyakan, sarawak harus iyakan! tidak kira bagaimana berbeza pndangan kita, kita harus iyakan! Ini impian kita.  Ini cita-cita kita!

No comments:

Post a Comment